17 Dec 2014

Emosi, Prasangka dan Neraca

Manusia tak lepas dari merasakan emosi yang kuat. Kita juga menjalani hidup dengan pelbagai andaian, termasuklah prasangka terhadap manusia lain. Kedua-dua perkara ini boleh dikawal atau mengawal hati manusia. Perkara yang membezakan orang yang kuat dan lemah terletak pada neraca hati yang sahih. Semakin sahih neraca hati seseorang, semakin kuat kawalannya terhadap emosi hatinya.


Oleh sebab itu, amat penting untuk kita berdoa supaya dikurniakan neraca hati yang teguh. Dalam Mathurat, doa yang turut tersenarai adalah: 

Maksudnya:

"Terima dan redhailah, ya Allah, akan penghulu-penghulu kami, Sayidina Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan para sahabat Baginda semuanya, juga para tabi'in dan orang yang mengikut jejak langkah mereka sehinggalah ke hari pembalasan. Terimalah (kepulangan) mereka dengan sebaik-baiknya"

Fadhilat wirid ini adalah seperti berikut:

Imam Nawawi menulis dalam kitabnya (al-Azkar) : "... kami riwayatkan dalam Hilyatul Aulia daripada Sayyidina Ali: Sesiapa yang ingin menyukat dengan penyukat yang lebih sempurna, maka katakanlah di akhir mana-mana majlis dengan (bacaan di atas)."

Allah yang memegang hati. Dengan mengakui kelemahan hati sebagai manusia dan menyandarkan sepenuh jiwa kepada-Nya, Dia pasti akan menyandarkan setiap rasa dan fikiran kita pada neraca yang sahih. Dengan ini, terpandulah setiap pandangan kita terhadap manusia lain.

Dengan menjaga hubungan dengan Tuhan, terjagalah hubungan kita dengan manusia.

29 Jul 2014

Mulakan Pagi Dengan Positif

Ya Allah, aku sedang berbahagia dan bersyukur kerana Engkau selalu memberkatiku.

Ya Allah, aku ini penting dan berharga, kerana itu Engkau menjadikanku hari ini. Terima kasih kerana mengaturkan aku dalam kelompok, keluarga dan jemaah ini.

Ya Allah, aku maafkan segala kesilapan dan kelemahan diriku yang lalu. Aku juga ampunkan dosa-dosa orang lain terhadapku. Aku sedar bahawa ini semua proses menjadikanku dewasa dan bijaksana.

Ya Allah, aku amat mencintai diriku kerana Engkau telah menjadikanku dengan kasih sayang dan cinta.

Ya Allah, terima kasih atas segala kekayaan, kejayaan, kebahagiaan dan keberkatan yang Engkau sediakan untukku.

Ya Allah, terima kasih atas segala rahmat cinta dan kasih sayang-Mu terhadapku.

Ini merupakan kata-kata yang diulang tulis setiap pagi, di samping amalan wajib (solat) dan Makthurat. Insyaallah hari berkat, bermanfaat dan tenang.

16 Jul 2014

Nasihati Aku

Nasihat itu ada pelbagai cara. Katalah kita boleh kelaskan kepada dua yang utama - lembut dan keras. Caranya mudah, yang lembut untuk yang tidak tahu manakala yang keras untuk yang alpa. Mudah secara teori saja. Sebabnya, kebanyakan manusia merasakan mereka berhak untuk terima yang lembut. Barangkali aku juga kadang-kadang begitu.

Sebenarnya menerima nasihat itu perlukan langkah pertama yang sangat jelas - diam seketika. Manusia bila berhati ego atau berasa besar, pasti cepat menempelak semula lantas mencari salah dan idea menasihat si penasihat kembali. Allah, jauhkanlah...

Pernah satu masa, aku kembali memegang jawatan sebagai Naib Presiden setelah setahun memegang jawatan Presiden. Setiap patah arahan Presiden kepadaku, hatiku terdetik, 'Aku tahulah. Tak perlu sebut lagi.' Usai mesyuarat itu, aku tiba-tiba teringat, 'Inikah ego? Inikah ujub? Inikah takbur?' Allah, lindungi aku dari penyakit hati...

Teringat seorang rakan lama pernah berkata, 'Jika aku menyimpang dari jalan Allah, nasihati aku. Jika aku tak boleh dinasihati, baling saja aku dengan kasut. Teriaklah: Engkau sendiri yang meminta ini dahulu.' Kagumnya aku dengan sahabat yang seorang ini. Ya Allah, istiqamahkanlah kami dalam jalan-Mu...

Seorang lagi manusia yang aku kenal, akalnya laju. Malangnya, mulutnya laju juga. Katanya, mohon diberi nasihat. Bila dinasihati, cepat sungguh terasa dan menasihat kembali. Agaknya, manusia bangga mampu menasihat. Sedang sang penasihat-penasihat mengumpul kudrat berhari-hari untuk mengatakan yang payah itu.

Teringat kawan berpesan, 'Doakanlah. Marah sedahsyat mana pun, doakanlah.' Ya, aku setuju. Doakan keinsafan buat yang dinasihati. Doakan kesabaran buat si penasihat. Biar sama-sama mendapat keberkatan. Hidayah itu hak Allah.

Sahabat-sahabat pembaca, nasihatilah aku.


6 Feb 2014

Nota Perkahwinan: Aku Berbahagia

Aku menulis ini kerana ramai orang bertanya, "Engkau bila lagi?" Selalunya aku hanya tersenyum sambil mengangkat-angkat kening. Kepada orang-orang tua, saudara-maraku, selalu aku jawab, "Ha! Esok saya fikir" lalu mereka gelak dengan gaya selorohku.

Ingin sekali aku katakan pada mereka, "Terima kasih kerana memikirkan masa depanku. Namun, usah risau. Aku sedang berbahagia." Aku berbahagia. Aku berbahagia mempunyai keluarga yang penyayang. Aku gembira rakan-rakanku dikurniakan rezeki anak-anak. Aku doakan suami-suami rakanku membahagiakan mereka juga.

Aku berbahagia kerana aku percaya jodoh, seperti rezeki, sudah tertulis di Luh Mahfudz sejak sekian lama, lama sebelum aku dilahirkan, lam sebelum manusia dilahirkan. Usaha tetap usaha. Namun yang lebih penting adalah berbahagia dengan apa sahaja yang lahir daripada usaha itu. Aku percaya inilah rasa tawakkal dan pergantungan pada Allah yang sebenar.

Satu kisah yang aku baca dari satu laman sesawang. Seorang budak baru kehilangan anjingnya yang dimatikan dengan suntikan kerana sakit kronik. Dia terdengar ibu bapanya dan doktor haiwan itu berbincang, 'Kenapa agaknya anjing hidup sekejap sedangkan ia peneman setia manusia?' Anak kecil itu menyampuk, "Saya tahu sebabnya. Semua makhluk dihidupkan untuk belajar mencintai dan dicintai kan? Manusia perlu belajar untuk mencintai dan dicintai. Tapi anjing sudah mempunyai naluri itu sejak dilahirkan. Maka mereka tak perlu belajar untuk jadi pencinta terbaik. Maka mereka perlu hidup yang pendek saja." Terdiam doktor haiwan dan ibu bapa itu mendengar kata-kata si anak kecil itu.

Dulu aku yang mentah juga selalu memandang aneh orang-orang yang tidak berkahwin. Sekarang aku merasakan, mungkin akhir hidup dalam keadaan bujang itulah yang terbaik untuk mereka. Manakala orang-orang yang berkahwin itu Allah sudah tetapkan pahala mereka paling banyak dikaut dalam perkahwinan itu. Mana kita tahu?

Walau bagaimanapun, perkahwinan itu satu bahagian dari sunnah Rasulullah saw yang dicintai. Keinginan untuk kahwin tetap ada. Usaha tetap perlu berjalan. Aku terus bersangka baik dengan Allah yang Maha Kaya. Kerana ini, aku terus berbahagia.


11 Nov 2013

Aku Mahu Kembali

Aku tak setuju 'Masa itu emas'. Aku tidak setuju juga 'Masa itu wang'. Sebab kedua-dua benda itu boleh diukur dan dijual beli. Tetapi, masa tidak.

Masa lepas tak mungkin boleh dibeli lagi. Kalaupun kita memandang dari perspektif kuantum, kita hanya boleh memperlahan atau mempercepat masa bermula dari saat ini. Kita tak mungkin kembali ke masa lepas. Kecuali dengan kuasa Tuhan. Buat aku teringat dengan novel Mitch Albom, The Time Keeper.


Hari ini, sesuatu telah menyentak hati aku. Biasanya inilah yang berlaku bila aku mendedahkan diri aku dengan pelbagai spektrum emosi manusia selama beberapa hari. Kesan sampingan bila seorang introvert melangkah keluar dari pagar keselesaannya.

Bila lagu baru Demi Lovato, Let It Go terngiang-ngiang dalam kepala aku, aku rasa aku perlu 'lepaskan' rasa ini dalam bentuk tulisan. Maka, aku bangun dari pembaringan jam 2 pagi tadi, menyingkap tabir ilham dalam bentuk aksara.

Aku tersentak kerana aku mula mengimbau kembali perjalanan hari-hari aku empat hari belakangan ini dalam perjalanan pulang menaiki bas dari Ipoh ke JB tadi. Aku tersedar betapa segala perkara yang berlaku dalam hidup ini tidak boleh dipadamkan, maka segala yang telah diketahui tidak boleh dibuang dari ingatan.

Aku mahu kembali. Aku mahu kembali pada ketika aku mula kenal sesetengah kawan, sebelum aku tahu perangai buruk mereka. Aku mahu kembali pada saat aku mula kenal tokoh-tokoh (yang sekarang jadi kawanku), sebelum aku tahu kelemahan mereka. Aku mahu kembali pada ketika aku naif tentang pengurusan majlis supaya aku tidak menilai pelbagai perkara bila berada dalam majlis. Aku mahu kembali pada ketika aku belum pandai berucap di khalayak kerana sekarang aku tak dapat menahan diri untuk menilai setiap pengucap yang aku temui.

'Knowledge comes with power.' Dan ilmu juga datang sepakej dengan tanggungjawab. Beban.

Tak mungkin aku tak mahu menegur rakan setelah mengetahui perangai buruknya. Tak mungkin aku dapat memandang rakan-rakan tokoh setinggi dulu setelah mengetahui kelemahan mereka. Tak mungkin aku membiarkan majlis berlalu sia-sia tanpa masuk campur dan membetulkan apa yang aku rasa aku boleh lakukan. Dan semua ini perlu dilakukan dengan penuh halus dan seni. Memerlukan satu set kemahiran yang lain pula. Silap langkah, penyesalan yang hadir.

'The more you know, the more you realize you don't know.' Hidup mesti terus.

Ini bukan rungutan. Ini satu inspirasi. Aku bersyukur pada Allah yang mencurahlan sekelumit dari ilmu-Nya yang Maha Luas kepadaku. Aku lebih bersyukur kerana Dia memberi aku faham realiti ilmu ini.

Aku harap sebentar lagi aku boleh tidur lena.

21 Aug 2013

Wordpress dan Blogger

Beberapa hari lepas, aku baru terbitkan satu entri dalam blog Wordpress aku - A Missing Piece of Heart. Lepas klik 'Publish' tu, Wordpress pun kata,
"Tahniah! Anda telah menerbitkan post yang ke-91 anda."
Tapi, dalam Bahasa Inggeris la *berdehem-dehem* Inilah antara perkara yang aku suka tentang Wordpress. Perkara-perkara lain yang aku lebih suka pada Wordpress berbanding Blogger:

1. Peramah (user-friendly)
Selain contoh ayat peramah di atas, Wordpress sediakan rumusan tahunan setiap 1 Januari untuk blog kita dan rumusan tu kelakar. Wordpress sangat berusaha memanusiakan 'features' yang ada.

2. Konsep penghargaan
Manusia suka bila dihargai. Wordpress faham konsep ini. Jadi, pengguna Wordpress selalu akan dapat ucapan seperti
"Selamat ulangtahun bersama Wordpress",
"Tahniah, anda telah mengumpulkan 10 followers!" atau
"Komen ini merupakan komen ke-100 anda! Tahniah."
3.  Setting untuk post lebih pelbagai
Dalam Wordpress, aku boleh letak gambar sebagai galeri atau slide show. Video pun kelihatan lebih kemas dalam post. Lebih-lebih lagi setting untuk mobile Wordpress. Lebih banyak yang aku boleh lakukan berbanding Blogger.

4. Custom Menu
Kita boleh letak apa yang kita suka pada Menu atas blog. Dalam Blogger, menu yang sama hanya terhad untuk Label sahaja.

Apa pula yang aku suka pada Blogger berbanding Wordpress?

1. Dashboard lebih ringkas
Lebih ringkas, maka lebih kemas. Cuma memerlukan lebih banyak masa untuk belajar sebab perlu klik lebih sikit. Mungkin juga ini disebabkan fungsi pada dashboard lebih kurang.

2. Custom settings pelbagai
Semua warna dan tulisan boleh ditukar-tukar. Wordpress tiada tetapan ini. Tapi kepelbagaian tema Wordpress dan perincian tema yang jelas bagi setiap tema lebih bagus. Cuma, bila aku dah pilih tema tu, x banyak boleh ditukar. Boleh, sebenarnya, bila kita bayar *hehe*

3. Blogroll
Dalam Blogger, boleh letak preview post terbaru dari blog-blog kegemaran kita. Aku tak jumpa tetapan ni dalam Wordpress, setakat ni cuma letak pautan saja.


Secara peribadi, aku lebih suka Wordpress berbanding Blogger. Mungkin perlu pembetulan. Aku lebih suka blog Wordpress aku berbanding blog Blogger aku. Mungkin sebenarnya aku kena ulangkaji balik matlamat penubuhan blog kedua ni.

Menulis bukan kerana nama. Tapi matlamat jelas tetap kena ada.

Baca apa kata bijak pandai:
1. http://www.makeuseof.com/
2. http://www.epreneur.tv/
3. http://www.thewonderforest.com/

15 Aug 2013

Mesir: Hati Pedih

Berita-berita tentang Mesir yang ku baca...

Tatkala membaca itu, terasa ada sesuatu yang berat menghempap hati. Pedih... Sakit... Keliru...

Hatiku sakit. Nyawa manusia sebegitu tidak bernilaikah di mata mereka. Semudah itu menghukum. Semudah itu membunuh. Semudah itu menghentikan hidup insan. Membunuh orang ibarat menembak boneka-boneka di lapangan sasar dengan peluru mati. Hati bentuk apakah yang ada dalam dada mereka?


Dadaku pedih. Melihatkan wajah-wajah syahid dan syahidah yang terpampang di sana-sini. Masa mereka sudah tamat. Urusan mereka di dunia sudah selesai. Allah telah memanggil mereka kembali, pada waktu yang terbaik, pada iman yang paling tinggi, ketika kecintaan mereka pada-Nya paling maksimum. 

Asmaa Mohammad Beltagi, 17 syahid.

Dadaku pedih kerana urusanku tidak selesai lagi. Aku percaya kerana sifat Maha Sayang-Nya, dia terus memberi aku peluang untuk jadi lebih baik, lebih baik. Aku berdoa nanti pergiku pada waktu yang terbaik - sebaik-baik pengakhiran (husn ul-khaotimah).

Fikiranku keliru. Semua ini ku baca, ku lihat dalam internet, bukan dengan mata kepalaku sendiri. Aku keliru bila cuba menapis mana yang betul, mana yang salah. Dan tak kira banyak mana aku baca, aku dengar, aku hadam, aku tak mungkin dapat memahami apa yang mereka lalui di Mesir. Aku tak pernah melalui situasi itu. Aku hidup di bumi yang aman. Aku keliru - kamikah yang bertuah atau mereka? Kami hidup aman. Tapi mereka mendapat pengakhiran yang baik.

Ya Allah, berikanlah pengakhiran yang baik buat semua umat Islam, amiin.

11 Jul 2013

Dari Pendekar Bubble Gum Kepada Hero

Pada 11 Mei 2013, aku sertai Bengkel Penulisan bersama Hilal Asyraf di UTM JB.

Antara perkara menarik yang beliau ceritakan dalam perkongsian itu termasuklah bagaimana novel Hero boleh terhasil. Idea tu bermula dari kata kunci Pendekar Bubble Gum sebab beliau ternampak sisa gula getah yang orang tinggalkan pada kerusi. Menarik...

Beza antara orang biasa dengan luar biasa antaranya adalah seperti di atas. Orang luar biasa ada kemampuan menjadikan perkara biasa-biasa luar biasa. Hanya dengan ternampak gula getah, sebuah novel terhasil.

Jujurnya, aku tak pernah baca satu pun novel Hilal Asyraf. Bacaan aku lebih kepada gaya A Samad Said, Usman Awang dan Faisal Tehrani. Malahan, rasanya aku lebih banyak baca novel Inggeris berbanding Melayu. Sebab faktor kertas kitar semula pada novel itu penting bagi aku. Entah dari mana aku dapat tabiat ni, tapi aku rasakan novel dari kertas terpakai lebih mudah aku hayati sebab nilai 'rustik' pada kertas tu. Ehehehe... Bilalah Malaysia nak perketatkan undang-undang penggunaan kertas agaknya ya?

Aku hadir ke kursus ni sebab aku tak pernah lagi dengar kursus seumpamanya. Tawaran harganya pun menarik sebab ada diskaun pendaftaran berkumpulan. Banyak juga benda baru yang aku belajar dari kursus ini. Cara-cara draf plot, cara hantar manuskrip pada editor dan cara-cara letak unsur saspen dalam penceritaan, antara yang menarik dalam fikiran aku.

Dalam mengikuti kursus tu, aku sempat terfikir, 'Inikah jenis penulis yang aku ingin jadi?' Maksud 'penulis jenis ini' itu adalah penulis karya kreatif. Aku tak dapat buat keputusan lagi. Gaya tulisan aku selalunya tak menarik pada golongan 'mainstream'. Hmm...

Sepanjang mengikuti kursus itu juga aku ternilai secara tak sengaja - menjadi penulis dan penceramah ternyata memerlukan dua set kemahiran yang sangat berbeza. Aku bersyukur aku seorang Toastmaster. Aku dapat cam perkara-perkara yang aku suka dan tak suka dalam penyampaian orang, jadi aku berusaha baiki diri untuk elak perkara-perkara tersebut. Dalam masa yang sama, perkara tak seronoknya adalah kelebihan itu membuatkan aku berharap tinggi pada 'trainer' dalam mana-mana kursus yang aku sertai.

Aku rasa gembira kalau ada borang maklum balas pada akhir kursus itu tapi malangnya tiada.

Walau apa pun, aku gembira penulis hebat macam Hilal Asyraf akhirnya berkongsi ilmu dan pengalamannya untuk membuka ruang dan jalan untuk membina legasi penulis tarbiyyah sepertinya. Semoga Allah ruangkan jalan yang lebih luas untuk usaha murni ini, amiin.

10 Jul 2013

Al-Quran dan Solat

Pernah nampak orang letak dalam status Facebook:
"Kalau engkau ingin bercakap dengan Allah, solatlah.
Kalau ingin Allah 'bercakap' dengan kamu, bacalah al-Quran."
Selalu kalau aku rasa tidak 'selesa', aku cuba cari jalan untuk solat sunat sekejap. Perasaan tidak selesa ada banyak - sedih, marah, kecewa, takut, sakit, patah hati, gementar, dan macam-macam lagi.

Kadang-kadang, aku nampak jalan penyelesaian pada masa itu juga. Kadang-kadang, masalah tak selesai, tapi aku belajar satu falsafah penting daripada perkara itu. Kadang-kadang juga, masalah tak selesai, tapi hati aku tenang tak tergambarkan.

Pada sesetengah masa, aku niatkan satu pertanyaan dalam hati, yakinkan diri bahawa DIA tahu jawapan yang terbaik untuk segalanya, dan selak mana-mana muka dari al-Quran. SubhanALLAH. Selalunya, magis yang hebat akan berlaku. Jauh, jauh lebih hebat dari filem Now You See Me.

Semua orang ada cara masing-masing untuk hilangkan rasa tak selesa - makan coklat, minum susu, tidur, tonton komedi, makan banyak, makan aiskrim. Tapi selalunya, bila berlaku pada kebanyakan orang, perasaan tu menghimpit terlalu kuat, atau terlalu lama, mereka lupa teknik-teknik asas untuk hilangkan rasa-rasa tersebut. Mereka hanyut dan akhirnya kalah dengan emosi.

Contoh lain daripada filem Three Idiots, Rancho ajar sebut 'aal iz well' kalau susah hati.
Katanya, "Masalah tak selesai. Tapi cara ini menguatkan ketabahan hati kita untuk terus hidup."

Kadang-kadang aku buat juga cara Rancho bila hati rasa pedih. Mungkin jantung kita boleh rasa kehadiran tangan kita bila kita lekapkan di dada, lalu ia boleh bertenang sebab berteman. Entahlah...

Tapi akhirnya, aku selalu ingatkan diri, aku orang Islam, aku mengaku percaya pada DIA. Maka, selayaknya, kepada DIAlah aku mesti kembali.

"...hasbun ALLAHi wa ni'mal wakil."

Day 1 of blogging, restarted

8 Jul 2013

E-Book

Belakangan ni, sejak ada telefon pintar (ada seorang kawan gelar "telefon pandai"), aku dah pandai muat turun e-book. Penggemar buku macam aku, haruslah rasa seronok, lagi-lagi banyak e-book percuma atas talian. Ada kawan komen, "Buku percuma tu, sama ada diberi separuh kemudian kena beli, atau buku-buku lama." Masa inilah baru aku sedar, aku suka karya klasik, sebab tulah aku seronok, dia tidak. Huhu...

Wuthering Heights. A Laocedian. Jane Eyre.The Woman in White. Sebahagian daripada buku yang aku dapat baca. Dapat juga satu software yang bagi buku-buku hebat juga - siri Harry Potter, siri Beautiful Creature, siri Twilight (haruslah buku ini lagi menggembirakan daripada filemnya), siri Hunger Games dan macam-macam lagi. Cuma aku tak pasti buku-buku tu siri penuh atau dipendekkan. Ada antaranya yang aku dah baca, bukannya aku ingat sangat isi seluruh buku.

Namun, e-book tidak mungkin dapat menggantikan keseronokan membaca buku sebenar. Perasaan aku masa membaca e-book hampir sama macam aku membaca mesej di telefon, cuma rasa puas hati sebab jalan cerita. Buku pula memberi kepuasan lebih banyak daripada jalan cerita seperti bau kertas, rasa permukaan kertas tu pada jari, bau dakwat yang dicetak tu dan permukaan muka depan. Lebih-lebih lagi, koleksi buku peribadi yang dah lama - buku-buku tu berbau macam perabot lama. Sebab kertas dan perabot berasala dari benda yang sama. Perasaannya macam masuk dalam perpustakaan purba.

Walaupun tak segembira buku, oleh sebab aku suka benda percuma, mana boleh lepaskan peluang keemasan ni. Muat turun sebanyak boleh!

Ada sesiapa tahu cara dapatkan e-book Sasterawan-sasterawan Negara kita?